Gempa di Turkiye dan Syria: Agong seru masjid surau adakan solat hajat, doa selamat

Gempa di Turkiye dan Syria: Agong seru masjid surau adakan solat hajat, doa selamat

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang telah meninggal dunia ekoran tragedi gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria, hari ini.

Melalui hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan ratusan nyawa dalam tragedi itu.

Baginda berdua juga menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh-roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada Kerajaan Turkiye dan Kerajaan Syria serta rakyatnya atas musibah yang telah melanda dengan kehilangan nyawa ratusan rakyat dan kerosakan harta benda serta infrastruktur,” menurut hantaran itu.

Dalam tempoh kesedihan ini, Seri Paduka Baginda berdua dan Malaysia bersolidariti dengan rakyat Turkiye serta Syria dan mendoakan agar mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan akibat tragedi itu dapat diselamatkan dengan segera serta mereka yang tercedera dikurniakan kesembuhan segera.

Sehubungan dengan musibah itu, Yang di-Pertuan Agong menyeru masjid-masjid dan surau-surau di negara ini untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah untuk keselamatan mangsa mereka dan keluarga mereka.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru masjid-masjid dan surau-surau untuk mengadakan solat jenazah ghaib bagi memohon keampunan daripada Allah SWT untuk mereka yang telah kembali ke Rahmatullah,” katanya. – Malaysiapost

Komen