Jumlah mangsa banjir di Johor menurun, Sabah kekal
JUMLAH mangsa banjir di Johor menurun kepada 420 orang pagi ini berbanding 506 malam tadi, manakala di Sabah kekal dengan 46 orang setakat 8 pagi ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, memaklumkan 394 orang daripada 110 keluarga masih ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Batu Pahat.
Manakala di Segamat, 26 orang daripada sembilan keluarga masih ditempatkan di satu PPS.
Sementara di Sabah, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 46 orang daripada 12 keluarga di satu PPS.
Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan penduduk terjejas hanya melibatkan daerah Beaufort dan angka itu dijangka kekal hari ini serta cuaca dilaporkan cerah pagi ini.
Manakala di Pahang, hujan lebat berterusan yang melanda daerah itu terutama di beberapa kawasan perumahan dan kampung menyebabkan berlaku banjir kilat, pagi tadi.
Antara kawasan yang dinaiki air ialah di Sungai Lembing, taman perumahan Sungai Isap Damai, Kampung Gudang Rasau dan kampung Cendering.
Berdasarkan gambar yang tular di Pekan Sungai Lembing, kawasan itu mula dinaiki air pada jam 5 pagi tadi. – Malaysiapost