Kerajaan berdepan cabaran tambah pendapatan negara – Ahmad Maslan

Kerajaan berdepan cabaran tambah pendapatan negara – Ahmad Maslan

TIMBALAN Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan kerajaan sedang berdepan dengan cabaran utama untuk menambah pendapatan negara.

Beliau dalam ciapan di laman Twitter, berkata lebih mencabar permintaan peruntukan untuk pengurusan dan pembangunan tidak terhad.

Menurutnya, sedangkan pendapatan yang diperolehi kerajaan mempunyai hadnya mengikut jumlah perolehan daripada cukai dan bukan cukai.

“Kita tidak nafikan kaedah untuk tingkatkan pendapatan kerajaan memang menjadi cabaran utama kepada semua negara termasuk Malaysia.

“Ini disebabkan permintaan peruntukan tidak terhad nilainya, sedangkan pendapatan ada hadnya.

“Tetapi, sebagai kerajaan, kita akan pastikan setiap hasil cukai dan bukan cukai terus dapat diberikan kembali kepada rakyat,” tulisnya dalam ciapan itu, hari ini.

Ahmad bagaimanapun berkata, pendapatan tinggi kepada rakyat wajar diutamakan seperti pelaksanaan gaji minimum, ekonomi berteraskan pelaburan yang berkualiti dan mengurangkan ekonomi penggunaan.

Dalam masa sama, katanya selain itu pendapatan yang tinggi juga perlu melalui penambahan pengeluaran bagi mengurangkan harga barang dan belanja secara berhemah. – Malaysiapost

Komen