Komen berbaur perkauman: Jangan hukum hingga jejas masa depan – Ahmad Fadhli

Komen berbaur perkauman: Jangan hukum hingga jejas masa depan – Ahmad Fadhli

ISU pemain hoki wanita negara yang membuat komen berbaur perkauman mengenai konsert penyanyi dan komposer India AR Rahman baru-baru ini, sewajarnya tidak diperbesarkan lagi susulan permohonan maaf secara terbuka sudah dibuat.

Ketua Dewan Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari, berpendapat semua pihak sudah boleh ‘move on’ daripada isu berkenaan dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga sudah meminta perkara itu disiasat.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, beliau mengikuti rapat perkembangan isu komen berbaur perkauman di Instagram berkaitan konsert penyanyi dan komposer legenda dari India di ibu negara baru-baru.

“Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga telah meminta agar Majlis Sukan Negara (MSN) menyiasat kes ini. Ya, itu satu kenyataan yang wajar, meminta agar ia disiasat.

“Namun, apa yang pasti, pemain hoki tersebut telah pun memohon maaf secara terbuka. Saya kira, ia sudah cukup sebagai pengajaran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Fadhli menegaskan, beliau bukan bermaksud mempertahankan tulisan komen tersebut, namun berpandangan dengan permohonan maaf yang dibuat, isu berkenaan tidak perlu diperbesarkan lagi.

“Ia berbau perkauman, boleh jadi betul. Tapi mengenakan tindakan yang menjejaskan masa depan beliau, mungkin tidak perlu,” katanya.

Terdahulu, Hannah Yeoh dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sudah berhubung dengan MSN mengenai isu berkenaan selain sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk tindakan lanjut.

Sebelum itu, tular di media sosial mengenai akaun Instagram dipercayai milik pemain hoki wanita negara didakwa melontarkan komen berbaur perkauman pada ruangan hantaran berkaitan konsert yang diadakan di Stadium Negara Bukit Jalil, Januari lalu.

Menyedari komen itu disalah tafsir membabitkan isu perkauman, pemain berusia 26 tahun itu telah memuat naik permohonan maaf di laman Instagram Story.

“Saya Hanis Nadiah Onn pemain hoki negara dengan penuh rasa rendah diri dan tanggungjawab memohon maaf di atas satu hantaran komen yang dimuat naik secara sedar oleh saya pada 28 Januari lepas.

“Sepanjang penglibatan saya selama 10 tahun dalam sukan hoki, persekitaran saya dipenuhi dengan rakan-rakan berbilang kaum yang sentiasa berjuang untuk negara Malaysia.

“Dengan ini saya berasa menyesal di atas kecuaian saya dan dengan penuh rasa kesedaran sekali lagi saya memohon jutaan kemaafan kepada yang terkesan,” katanya. – Malaysiapost

Komen