Noh gesa Umno Tanjung Karang singkir ‘pengkhianat’

Noh gesa Umno Tanjung Karang singkir ‘pengkhianat’

TAN Sri Noh Omar berpesanan kepada ahli-ahli Umno Tanjung Karang supaya meneruskan perjuangan parti berkenaan dan tidak berpecah belah.

Bekas Ketua Umno Bahagian Tanjung Karang, yang dipecat daripada dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 27 Januari lalu itu, turut berharap ‘pengkhianat’ dalam Bahagian yang pernah diterajuinya itu disingkirkan.

Menurutnya, pengkhianat berkenaan perlu ditunjuk ‘jalan keluar’ dalam Mesyuarat Umno Bahagian dan pemilihan kali ini.

“Pesanan saya kepada pejuang-pejuang Umno Tanjung Karang supaya meneruskan perjuangan parti keramat ini.

“Dalam perjuangan perlu ada perpaduan dikalangan ahli. Kita tidak ada kekuatan kalau berpecah belah.

“Mesyuarat Umno Bahagian harus diteruskan dan yang paling penting pengkhianat yang memecahbelahkan perpaduan dalam Umno Tanjung Karang perlu ditunjuk jalan keluar dari saf kepimpinan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Noh yang juga bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, bagaimanapun tidak menyatakan siapa ‘pengkhianat’ yang dimaksudkannya itu.

Beliau turut terharu dengan penghargaan yang diberikan oleh ahli-ahli Umno tanjung Karang yang hadir dalam Majlis Jasamu Dikenang anjuran veteran Umno bahagian berkenaan untuk beliau semalam.

“Saya nak berterima kasih kepada veteran Umno Tanjung Karang yang adakan majlis petang semalam. Rasa terharu dengan penghargaan yang diberi.

“Kehadiran yang menyentuh hati saya. Ramai yang meluahkan perasaan mereka pada saya tapi tidak mengapalah semuanya dah berlaku,” katanya.

Pada 27 Januari lalu, selain Noh turut dipecat daripada parti itu adalah bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, atas pelanggaran disiplin mengikut Perlembagaan Umno.

Pemecatan itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan yang turut memaklumkan mengenai penggantungan keahlian Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan saudara Shahril Sufian Hamdan.

Turut dipecat adalah lima ahli Umno Bagan Pasir Gudang, sembilan ahli Umno Bahagian Putrajaya, dua ahli Umno Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli Umno dari negeri Pahang.

Ahmad berkata, antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN) dan terbabit membantu parti lawan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). – Malaysiapost

Komen