Nurul Izzah tiada peluang kumpul kekayaan dengan jawatannya – Anwar

Nurul Izzah tiada peluang kumpul kekayaan dengan jawatannya – Anwar

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak mungkin anaknya Nurul Izzah yang dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepadanya berpeluang untuk menyalahgunakan kedudukan bagi mengumpul kekayaan.

Beliau berkata, tidak akan ada peluang untuk anaknya itu mempengaruhi keputusan mengenai sebarang tender, kontrak atau projek.

“Saya sudah jelaskannya sebelum ini..saya sebutkan lagi mengenainya. Pertama tiada sebarang imbuhan.

“Kedua, tiada kemungkinan menggunakan kedudukannya itu untuk mengumpul kekayaan dan mempengaruhi keputusan mengenai tender, kontrak atau projek,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, hari ini.

Beliau yang juga Presiden PKR,  mengulas mengenai kritikan susulan pelantikan Nurul Izzah sebagai seorang daripada penasihat kanannya.

Anwar mengakui beliau memerlukan kepakaran dimiliki Nurul Izzah dan kedudukannya dalam jawatan itu adalah untuk melindungi dan melaksanakan agenda tadbir urus kerajaan yang baik dan mengatasi rasuah dalam sistem.

“Tentunya saya mengambil pendirian tegas terhadap mereka yang menganugerahkan kontrak ratusan juta kepada anak, menantu serta kroni ketika mereka memerintah. Kini, mereka pula mahu bercakap soal tadbir urus baik.

“Namun, saya hormati pandangan rakyat yang secara ikhlas bimbang jika kedudukan disalah guna untuk memperkayakan anggota keluarga mereka. Itu saya beri jaminan ini tidak akan berlaku di bawah pentadbiran saya,” katanya. 
Sementara itu, Anwar turut memaklumkan beberapa individu lain telah dilantik sebagai penasihat, antaranya 

Tan Sri Mohd Hassan Marican yang dimumkannya sebagai Ketua Penasihat Ekonomi di Kementerian Kewangan sebelum ini.

“Ramai yang dilantik…antaranya Tan Sri Hassan Merican yang telah diumumkan dan beberapa individu lain yang sudah dilantik serta saya akan umumkan nama mereka esok atau lusa,” katanya. – Malaysiapost

Komen