PH peroleh lebih 5.8 juta undi Melayu dalam PRU15 – Anwar

PH peroleh lebih 5.8 juta undi Melayu dalam PRU15 – Anwar

ANDAIAN selama ini bahawa Pakatan Harapan (PH) khususnya, tidak mendapat dokongan masyarakat Melayu adalah tidak benar, tegas Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri itu berkata, analisis pasukan data saintis diwujudkan PH mendapati kira-kira 31 peratus daripada lebih 5.8 juta undi diterima gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu adalah daripada orang Melayu.

Beliau berkata, dapatan awal itu juga menunjukkan gabungan undi diperoleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan menyamai dua pertiga daripada lebih 15 juta undi direkodkan dalam PRU-15.

Menurutnya, dapatan itu secara langsung menafikan tuduhan mengatakan gabungan itu ditolak masyarakat Melayu, dengan hanya mendapat 19 peratus undi Melayu.

“Data saintis yang membuat analisis data awal dan akan diperkemaskini kemudian dalam tempoh seminggu dua lagi, kita dapat lihat sebenarnya tidak benar yang diuar-uarkan kononnya PH mendapat 19 peratus dokongan Melayu.

“Kalau 19 peratus sokongan Melayu, tidak mungkin kita dapat mencatat jumlah kerusi seperti mana yang dicatat dalam pilihan raya baru-baru ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR, berkata terdapat peratusan undi Melayu yang rendah diterima PH, seperti di Kelantan dan Terengganu, namun ada yang mencecah lebih 50 peratus dengan tertinggi di Wilayah Persekutuan, diikuti Selangor, Pulau Pinang, Penang, dan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan jumlah dua pertiga undi diperoleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan membuktikan kekuatan dan kestabilan pentadbirannya.

“Kalau dikumpul kekuatan Kerajaan Perpaduan sekarang ini membabitkan komponen PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain yang bersama, itu sudah mencecah dua pertiga daripada keseluruhan undi dalam PRU-15.

“Kalau itu keadaannya, maka dengan dua pertiga Ahli Parlimen yang mewakili dua pertiga pengundi dalam PRU15, kita yakin dapat terus mengemudi negara ini sebagai satu pasukan yang mantap.

“Kita akan menggunakan ruang yang ada untuk membersihkan negara daripada budaya rasuah dan memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih meyakinkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen