PM yakin SMART mampu bantu mangsa gempa di Turkiye

PM yakin SMART mampu bantu mangsa gempa di Turkiye

PASUKAN Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dihantar ke Turkiye malam ini untuk membantu negara berkenaan yang dilanda gempa bumi kuat, mampu memberikan bantuan yang diperlukan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pasukan itu dihantar selepas pihaknya menerima permohonan kerajaan Turkiye.

“Ada permohonan dari Turkiye selepas negara mereka ditimpa musibah, berikutan itu saya sudah arahkan menteri berkaitan untuk segera siapkan pasukan dan dikirimkan dalam tempoh segera.

“Pasukan SMART adalah kumpulan terlatih untuk kendalikan kes seperti tanah runtuh serta gempa bumi.

“Walaupun kekuatan Turkiye ada, sebagai negara sahabat yang rapat dengan negara itu, bantuan yang kita berikan ini sangat bermakna kepada mereka,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, hari ini.

Sementara itu dalam satu kenyataan, Anwar menzahirkan rasa sedih dengan kehilangan besar nyawa, kecederaan dan kemusnahan besar-besaran berikutan gempa bumi yang melanda negara berkenaan.

“Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan rasa simpati dan takziah kepada mangsa dan keluarga serta semua negara yang terjejas akibat bencana tersebut,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan 75 anggota SMART dihantar bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye.

Media melaporkan angka korban bencana itu terus meningkat kepada lebih 1,200 orang terbunuh manakala ribuan lagi cedera selepas gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud melanda selatan Turkiye pada 4.17 pagi tadi.

Gempa susulan turut dilapor berlaku dalam tempoh tidak sampai 12 jam dan setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian berkenaan. – Malaysiapost

Komen