‘Semoga kita akan terus jadi sahabat’ – Tunang Zarina Anjoulie
TUNANG kepada pelakon Zarina Anjoulie iaitu Datuk Seri Khazrul Elzey tampil menjawab teka teki mengenai pergolakan yang berlaku dalam hubungan mereka.
Khazrul menerusi hantaran di TikTok Story, menulis kapsyen seperti mengiyakan bahawa hubungan mereka sudah berakhir, dan berharap boleh terus bersahabat.
Dalam hantaran itu juga, dia meluahkan tidak boleh menjadi orang yang baik seperti diimpikan Zarina.
“Kita mampu merancang, Allah yang menentukan. Papa tak sebaik mana yang mama impikan. Kita berdua masih ada kekurangan.
“Semoga kita akan terus menjadi sahabat. Papa doakan mama dapat orang yang lebih baik,” tulisnya.
Turut dimuat naik gambar-gambar kenangan ketika bersama, Khazrul turut meluahkan rasa kasih dan sayangnya kepada Zarina.
“Terima kasih atas cinta mama kepada papa. Hanya Allah dapat membalas di akhirat kelak. I love you (saya sayang kamu), mama,” tulisnya lagi.
Zarina bagaimanapun tidak memuat naik sebarang hantaran berkaitan perkara ini di Instagramnya.
Terdahulu, Zarina atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohamad Fahizul memberi bayangan sedang patah hati dan memadam semua gambar bersama tunangnya di Instagram dan TikTok.
Pada 26 Januari lalu Zarina mendedahkan mereka sudah bertunang, namun tidak berkongsi tarikh disatukan biarpun sudah menempah baju pengantin dan cincin.
Difahamkan majlis pernikahan pasangan tersebut akan berlangsung pada Mac ini, malah bakal suaminya juga telah membeli rumah baharu di sebuah kawasan elit. – Malaysiapost