Tuduhan rasuah sangat kecil, berbanding khidmat PAS yang tidak bermusim – Hadi
TUDUHAN menyatakan PAS merasuah pengundi ketika pilihan raya adalah terlalu kecil berbanding pengorbanan orang yang bersedekah, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS itu berkata, kepada individu yang bercakap berkenaan perkataan bersedekah perlu terlebih dahulu memahami konsep sedekah dalam Islam yang dibawa oleh PAS.
Menurutnya, PAS melaksanakan konsep berkebajikan mengikut petunjuk al-Quran dan al-Sunnah dengan makna yang luas, serta bersedekah hanya salah satu daripadanya.
“Kebajikan bukan sahaja merangkumi aspek berkhidmat kepada masyarakat, dan hanya bersedekah wang dan barangan sahaja. Maksud sedekah pula, bukan sahaja bersifat harta dan barangan, bahkan termasuk juga sedekah dari sudut ilmu, khidmat tenaga dan nasihat yang baik sama ada dengan lisan atau tulisan.
“Ahli-ahli PAS menghayatinya dalam semua lapangan sejak peringkat awal sebelum dan selepas penubuhan PAS lagi.
“Penglibatan mereka bukan hanya dalam politik dan ketika musim pilihan raya, bukan secara terpilih mahupun bermusim,” kata Abdul Hadi dalam tulisan Minta Presiden PAS, di Facebook.
Abdul Hadi berkata, sejak tahun 1955 wakil rakyat PAS tetap memberikan khidmat kepada rakyat, walaupun dipulau oleh kerajaan yang menindas pembangkang.
Katanya, terdapat juga kalangan wakil rakyat parti itu mengadu mempunyai banyak hutang kerana khidmatnya kepada masyarakat tanpa memilih siapa pun yang hendak diberikan bantuan.
“Hutang-hutang itu hanya dapat dijelaskan selepas mereka bersara dan tidak menjadi wakil rakyat lagi. Itu adalah bukti khidmat wakil rakyat PAS sepanjang masa dan kepada semua, bukan hanya pada musim pilihan raya umum, pusat, negeri dan pilihan raya kecil semata-mata,” ujarnya.
Tambah beliau, kini selepas ramainya ahli PAS daripada pelbagai lapangan dan kebolehan, usaha-usaha ini diatur secara sistematik, di samping penubuhan lujnah-lujnah khusus dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah PAS untuk meluaskan lagi khidmat masyarakat.
Katanya, beliau sendiri mendengar pelbagai cerita mencabar seperti rombongan PAS membantu mangsa banjir di kubu parti kerajaan yang memerintah telah dilempar cemuhan dan kata-kata yang sangat menyayat hati.
“Namun begitu, khidmat kami tetap diberikan kepada rakyat, kerana bukan masanya untuk berpolitik ketika bencana, yang lebih wajib adalah untuk bersikap kemanusiaan.
“Akan tetapi, mereka itu dalam keadaan tidak mempunyai rasa malu, ada daripada kalangan ahli parti mereka yang mencuri subsidi untuk rakyat dan barangan bantuan kepada mangsa, ketika wajib mengorbankan diri dan tenaga kepada semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya lagi.
Beliau berkata, perkara itu bukti khidmat masyarakat daripada PAS tidak bermusim, berbanding pihak lain yang hanya bertujuan untuk mencapai matlamat politik sahaja, umpana ‘ayam yang bertelur sebiji, namun berkokok riuh sekampung’.”
Dalam pada itu, katanya banyak parti yang pernah bekerjasama atau yang sedang bekerjasama dengan PAS menyaksikan hebatnya pengorbanan jentera parti itu yang tidak bermusim tanpa meminta upah daripada manusia.
“Inilah hasil tarbiah yang tidak memisahkan urusan dunia daripada urusan agama yang berwawasan akhirat. Perkara ini hanya boleh didapati dalam Islam, tetapi tidak terdapat dalam ideologi ciptaan manusia,” katanya. – Malaysiapost