Wanita Umno Titiwangsa nafi gesa Noraini berundur

Wanita Umno Titiwangsa nafi gesa Noraini berundur

WANITA Umno Bahagian Titiwangsa, menafikan menggesa Ketua Wanita, Datuk Seri Noraini Ahmad berundur daripada mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti akan datang.

Ketuanya, Datuk Mar Dg Matrok berkata, beliau menafikan laporan berhubung perkara itu selain menegaskan Azwati Abdul Halim tidak memegang sebarang jawatan dalam Wanita Umno Titiwangsa.

“Saya selaku Ketua Wanita Umno Titiwangsa menafikan laporan berita tersebut.

“Azwati Abdul Halim bukan pemegang jawatan Wanita Umno dalam Titiwangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, ahli Wanita Umno Titiwangsa, Azwati dilapor mahu Noraini berundur daripada mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti akan datang.

Katanya, gesaan itu dilakukan agar Noraini dapat bertanggungjawab sepanjang mengetuai sayap itu.

Katanya, sebagai ketua, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong seharusnya mendengar masalah dihadapi anak buahnya dan bukannya menjauhkan diri.

Sebelum ini, media melaporkan lebih separuh Ketua Wanita Umno Bahagian di seluruh negara meminta agar Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali menerajui kepimpinan Wanita Umno. – Malaysiapost

Komen