3 pelajar IPTS ditahan edar ganja

3 pelajar IPTS ditahan edar ganja

TIGA pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Bandar Sunway, ditahan polis kerana terbabit dalam kegiatan mengedar dadah jenis ganja, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, melakukan dua serbuan di asrama milik IPTS terbabit.

Menurutnya, dalam serbuan pertama pada jam 12.15 tengah malam, polis menahan dua lelaki dan merampas sebekas plastik berisi satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat dedaun kering, disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 34.3 gram.

“Serbuan kedua pada jam 12.30 tengah malam pula, polis menahan seorang lelaki dan merampas sebekas plastik berpenutup warna hijau, mengandungi tiga ketulan mampat dedaun kering, disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 868.7 gram.

“Ketiga-tiga lelaki berusia 20-an yang ditahan ini adalah pelajar di institusi pengajian berkenaan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing, mendapati semua suspek positif dadah jenis THC dan tidak memiliki sebarang rekod lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, semua suspek direman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 39B akta sama.

Beliau berkata, tangkapan kes dadah yang membabitkan warga muda terutamanya pelajar IPT meningkat kebelakangan ini.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau aktiviti anak mereka supaya tidak terjebak dengan aktiviti penyalahgunaan dadah, yang boleh merosakkan masa depan mereka dan merugikan negara. – Malaysiapost

Kredit foto HM

Komen