5,320 mangsa banjir di 5 negeri
JUMLAH mangsa banjir di lima negeri yang terjejas dilaporkan seramai 5,320 penduduk membabitkan 1,570 keluarga setakat jam 4 petang tadi.
Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), negeri Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,160 penduduk daripada 1,525 keluarga.

Daerah Kuantan merekodkan seramai 5,053 mangsa daripada 1,494 keluarga yang kini ditempatkan di 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Turut terjejas daerah Pekan membabitkan 107 mangsa daripada 31 keluarga yang dipindahkan di empat PPS.
Menurut laporan itu, Johor mencatatkan 59 mangsa daripada 17 keluarga membabitkan daerah Batu Pahat (26 mangsa), Mersing (tujuh mangsa) dan Segamat (26 mangsa).
Kelantan pula merekodkan seramai seramai 28 mangsa daripada enam keluarga membabitkan daerah Pasir Mas.

Manakala, Kedah mencatatkan seramai 26 mangsa daripada lapan keluarga di daerah Kulim dan Terengganu seramai 47 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan di daerah Kemaman.
Secara keseluruhan sebanyak 35 PPS aktif membabitkan 28 di Pahang, tiga di Johor dan dua di Terengganu serta satu di Kelantan. – Malaysiapost