‘Alhamdulillah kalau KJ sertai PN’ – Sanusi

‘Alhamdulillah kalau KJ sertai PN’ – Sanusi

PAS berharap ura-ura bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang dipecat daripada Umno akan menyertai Perikatan Nasional (PN), bakal menjadi kenyataan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penyertaan Khairy akan memberi kesan positif dan kekuatan kepada PN terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dalam masa terdekat.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, PN sentiasa membuka ruang untuk mana-mana individu yang dipecat atau digantung Umno untuk menyertai parti itu sekiranya mereka berminat.

“(Kalau KJ sertai PN akan beri) kesan positif, (semua pemimpin) yang dibuang daripada Umno (ini adalah) orang baik-baik, orang yang ada potensi hebat.

“KJ siapa kata tak hebat? Siapa kata (Tan Sri) Annuar Musa,(Tan Sri) Noh Omar, (Datuk Seri) Shahidan Kassim, (Datuk Seri) Hishamuddin tidak hebat? Semua ini orang hebat, terkenal di seluruh Malaysia.

“Prestasi KJ (semua sudah tahu), berapa lama (beliau menjadi Menteri Kabinet), seorang (insan yang) hebat, kalau dapat menyertai PN, apa dia nak jadi pun (sangat dialu-alukan).

“Alhamdullilah, terima kasih KJ (kalau sertai PN)… saya harap ia menjadi kenyataan, orang baik (saya harap) mai (sertai PN), orang tidak bagus pergi berhimpun, berkumpul di sebelah sana (Pakatan Harapan),” katanya menurut laporan AstroAwani.

Semalam, Khairy dilapor menyatakan minat untuk bertanding dalam PRN Selangor.

Menurutnya, beberapa tawaran telah dibuat kepadanya, termasuk jawatan Menteri Besar Selangor sekiranya menang.

Bagaimanapun, bekas Menteri Kesihatan itu tidak mendedahkan parti politik mana yang menawarkan jawatan tersebut selain turut tidak bercadang untuk menubuhkan parti baharu di negara ini. – Malaysiapost

Komen