Anwar puas hati prestasi Jemaah Menteri terutama Zahid
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan barisan Kabinet terutama Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Anwar berkata, walaupun mereka mempunyai sejarah pertelingkahan yang lama, wujud kesatuan pemikiran dan tekad bekerja sebagai satu pasukan untuk menyelamatkan negara dan mengangkat Malaysia Madani.
“Saya tengok pasukan kerja dan rakan-rakan saya, walaupun dengan pelbagai latar dan sejarah pertelingkahan serta pergaduhan itu besar, terutama TPM di sebelah kanan saya (Zahid), tetapi Alhamdulillah, tidak boleh dinafikan kesatuan pemikiran, kesatuan tekad itu wujud.
“Kita bekerja sebagai satu pasukan dan matlamat kita untuk menyelamatkan negara dan mengangkat Malaysia Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri masih kurang berpuas hati dengan prestasi pasukan penguatkuasaan yang pada pemerhatiannya, wujud ‘sedikit sebanyak kecuaian’ meskipun melihat terdapat anjakan dalam perkhidmatan sektor awam.
“Saya tengok ada keinginan rakan-rakan baik pimpinan dan penjawat awam mengorak langkah dengan lebih pantas dan lebih bertanggungjawab.
“Setiap sen yang kita belanjakan lebih bertanggungjawab tetapi pada peringkat penguatkuasaan, saya lihat ada sedikit sebanyak kecuaian, kalau kita tak tangani, rakyat resah,” katanya. – Malaysiapost