Gempa bumi: 70 anggota SMART berlepas ke Turkiye malam tadi
MALAYSIA menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye bagi membantu misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye sebagai tanda solidariti kepada mangsa yang terjejas.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Wisma Putra dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali untuk mengambil tindakan segera dengan menghantar pasukan SAR ke Turkiye setelah gempa bumi menjejaskan 10 wilayah.
Beliau berkata Kementerian Luar bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kedutaan Malaysia di Turkiye serta Kedutaan Turkiye di Malaysia akan menyelaras operasi untuk memastikan gerak kerja di negara itu kelak berjalan lancar tanpa menimbulkan kesulitan.
“Saya berhubung dengan Menteri Luar Turkiye, Mevlut Cavusoglu untuk mendapatkan gambaran di sana dan beliau menyuarakan perlu kesegeraan antaranya bantuan SAR dan akan disusuli dengan bantuan perubatan dan misi kemanusiaan yang lain,” katanya memetik Harian Metro.
Beliau berkata demikian semasa pelepasan misi SAR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, malam tadi.
Turut hadir adalah Armizan; Ketua misi SAR, Komander Mohd Khairul Jamil dan Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel.
Sementara itu, Mohd Khairul berkata pasukan SMART yang terdiri 70 anggota termasuk pasukan perubatan dari Kor Kesihatan Diraja (KKD) dan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) berlepas ke Istanbul menerusi penerbangan Turkish Alirlines malam tadi.
Beliau berkata pasukan akan melapor diri sejurus tiba di kawasan yang terjejas dan akan digerakkan mengikut urus setia yang menetapkan kawasan untuk SAR.
Katanya pasukan SMART berpengalaman dalam operasi SAR dengan penglibatan dalam 12 SAR termasuk insiden gempa bumi melanda Izmit, Turkiye pada 1999.
Ia juga menerima pengiktirafan daripada Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016 yang membolehkan pasukan itu dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara.
Pagi semalam, sempa bumi kuat 7.4 pada skala Richter dilapor melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras. – Malaysiapost