Gempa Turkiye: 12 rakyat Malaysia di wilayah terjejas disahkan selamat – Zambry

Gempa Turkiye: 12 rakyat Malaysia di wilayah terjejas disahkan selamat – Zambry

SERAMAI 12 rakyat Malaysia yang berada di wilayah terjejas gempa bumi di Turkiye iaitu Gaziantep, Şanliurfa dan Adana disahkan dalam keadaan selamat.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata warga Malaysia yang berada di kawasan terjejas di selatan Turkiye, telah dihubungi Kedutaan Malaysia di sana.

Sebelum ini, beliau mengesahkan tidak ada rakyat Malaysia terlibat dalam gempa yang tercetus di selatan Turkiye, awal pagi Isnin.

Menerusi satu kenyataan, Zambry memaklumkan sudah menghubungi rakan sejawatannya, Mevlut Cavusoglu bagi menzahirkan perasaan simpati Malaysia terhadap negara tersebut.

Malam tadi, Malaysia menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye bagi membantu misi mencari dan menyelamat (SAR) sebagai tanda solidariti kepada mangsa yang terjejas.

Pasukan SMART terdiri daripada 70 anggota termasuk pasukan perubatan dari Kor Kesihatan Diraja (KKD), Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) berlepas ke Istanbul menerusi penerbangan Turkish Alirlines.

Menurut Ketua misi SAR Komander Mohd Khairul Jamil, pasukan akan melapor diri sejurus tiba di kawasan yang terjejas dan akan digerakkan mengikut urus setia yang menetapkan kawasan untuk SAR.

Gempa berukuran 7.8 skala Magnitud berdurasi 75 saat dilaporkan melanda barat bandar raya Gaziantep dekat sempadan Syria pada pukul 4.17 pagi (9.17 pagi waktu Malaysia).

Gegaran kedua tertinggi dalam sejarah Turkiye selepas 1939 yang berkekuatan 7.9 skala Magnitud itu turut mengakibatkan ancaman tsunami di perairan negara berkenaan. – Malaysiapost

Komen