Ismail Sabri ucap tahniah pada kerajaan, pasukan SMART
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang bertindak pantas menghantar 70 anggota membantu mangsa gempa bumi di Turkiye.
Ahli Parlimen Bera itu juga berduka cita dengan kejadian yang meragut ribuan nyawa di wilayah selatan Turkiye dan utara Syria.
“Saya difahamkan dua gempa bumi berskala besar berukuran 7.8 dan 7.5 magnitud telah menggegarkan wilayah Kahramanmaras dan beberapa wilayah kejiranan termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay, dan Kilis yang mengorbankan beribu nyawa.
“Doa dan harapan saya agar semua mangsa dapat diselamatkan dan semoga bantuan yang diberikan oleh seluruh negara dapat meringankan beban pasukan penyelamat Turkiye,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Ismail Sabri berkata, bantuan pasukan SMART dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye adalah bukti hubungan baik kedua-dua negara.
Beliau juga bersyukur kerana semua 12 rakyat Malaysia yang berada di wilayah terjejas di negara itu dilaporkan selamat.
“Saya juga berharap agar keluarga mangsa yang terlibat terus cekal dan tabah dalam menghadapi dugaan ini. Salam takziah kepada kerajaan serta rakyat Turkiye dan Syria,” katanya.
Malaysia menghantar Pasukan SMART ke Turkiye bagi membantu misi SAR sebagai tanda solidariti kepada mangsa yang terjejas, malam tadi.
Gempa berukuran 7.8 skala Magnitud berdurasi 75 saat dilaporkan melanda barat bandar raya Gaziantep dekat sempadan Syria pada pukul 4.17 pagi (9.17 pagi waktu Malaysia), awal pagi semalam. – Malaysiapost