Johor kutip zakat harta, fitrah RM367.65 juta tahun lalu

Johor kutip zakat harta, fitrah RM367.65 juta tahun lalu

MAJLIS Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) merekodkan lebihan zakat harta dan fitrah berjumlah RM61.52 juta pada tahun lalu.

Lebihan itu hasil daripada pungutan zakat sebanyak RM367,656,000, manakala agihan zakat pula adalah sebanyak RM306,131,863 bagi tempoh sepanjang tahun lalu

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, secara keseluruhan pencapaian pungutan zakat meningkat sebanyak 9.9 peratus daripada tahun sebelumnya iaitu RM 333.4 juta.

Beliau berkata, jumlah pembayar zakat harta juga meningkat sebanyak 6.5 peratus daripada 128,437 pembayar pada 2021 kepada 136,789 pembayar pada 2022.

Menurutnya, tambahan kutipan zakat itu sedang disalurkan dengan kadar segera untuk pembangunan ummah.

“Antaranya ialah pembangunan untuk projek-projek di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sebanyak RM5.5 juta, pembangunan Sekolah Tahfiz Sains Antarabangsa (RM5 juta) dan Tabung Pembangunan Masjid (RM3 juta).

“Tidak ketinggalan Bantuan Ikhsan Asnaf Fakir, di mana setiap seorang akan menerima RM1,000 dengan peruntukan sebanyak RM5 juta yang akan memberi manfaat kepada 5,000 orang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata kutipan zakat juga akan diagihkan dalam bentuk sumbangan RM300 seorang kepada 8,755 nelayan Johor dengan peruntukan sebanyak RM 2.6 juta.

“Sumbangan RM300 seorang kepada 6,666 anak yatim yang tinggal di luar asrama (RM 2 juta) dan sumbangan RM1.1 juta kepada 3,925 Penerima Bantuan Dialisis (RM 1.1 juta).

“Selain sumbangan RM500,000 untuk golongan gelandangan; dan sumbangan RM500,000 kepada warga emas 80 tahun ke atas serta golongan orang kurang upaya (OKU),” katanya. – Malaysiapost

Komen