Kali pertama DAP hadir ke Ibu Pejabat Umno

Kali pertama DAP hadir ke Ibu Pejabat Umno

MESYUARAT pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang akan diadakan di Ibu Pejabat Umno di Menara Dato’ Onn malam ini pastinya menjadi tumpuan.

Ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjejakkan kaki semula di Ibu Pejabat Umno, 25 tahun selepas dipecat parti pada 1998.

Mesyuarat itu juga bakal mencipta sejarah, apabila buat kali pertama pemimpin DAP hadir ke Ibu Pejabat Umno selepas berpuluh-puluh tahun bersengketa dengan parti itu sebelum ‘disatukan’ dalam Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan Anwar dan pemimpin DAP akan menghadiri mesyuarat yang dijangka bermula pada jam 8.30 malam.

Anwar akan mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan, yang melibatkan wakil-wakil parti kerajaan.

“Anwar akan hadir, wakil DAP juga ada dalam mesyuarat malam ini,” katanya yang mengetuai sekretariat berkenaan.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi tidak memperincikan siapa wakil DAP yang akan hadir ke mesyuarat berkenaan.

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan penubuhan sekretariat itu bersama parti dalam Kerajaan Perpaduan, dengan pejabat urusannya bertempat di Menara Dato’ Onn.

Sekretariat itu antara lain bertujuan menjamin kelangsungan Kerajaan Perpaduan yang sudah disepakati.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat malam ini antaranya membincangkan mengenai pelaksanaan manifesto atau akujanji parti gabungan membentuk kerajaan.

Beliau berkata, perbincangan itu akan menjurus kepada mencari titik persamaan agenda rakyat dalam manifesto parti gabungan.

“Kita mungkin membincangkan beberapa agenda bagi memperkukuhkan kerajaan, bukan sahaja politik malah agenda merakyatkan berdasar manifesto atau akujanji mana-mana parti,” katanya. – Malaysiapost

Komen