Mahkamah tidak benarkan saksi kes Ebit beri keterangan secara tertutup

Mahkamah tidak benarkan saksi kes Ebit beri keterangan secara tertutup

PERMOHONAN pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew, untuk dua saksi memberi keterangan secara tertutup (menerusi kamera), ditolak oleh Mahkamah Majistret Tenom, hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Nur Asyrat Zolhani yang berpendapat tiada keperluan untuk mahkamah mendengar keterangan saksi melalui kamera mengikut Seksyen 101 Akta Mahkamah Rendah 1948.

Memetik laporan Berita Harian, Nur Asyrat berkata memandangkan kes itu membabitkan jenayah seksual, maka bukti mengandungi bahan lucah memang boleh dijangka.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memohon mahkamah membenarkan dua saksi pendakwaan iaitu pengadu dan pegawai analisis forensik, Inspektor Yip Chang Ching memberi keterangan secara tertutup.

Sementara itu, mahkamah turut mengingatkan orang awam supaya tidak mengambil sebarang gambar atau video sepanjang prosiding terbabit berlangsung.

Perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan Ebit Lew disambung di Mahkamah Majistret Tenom, hari ini dan akan berlangsung sehingga 10 Februari ini.

Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim, 37, berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp.

Perbuatan itu dikatakan berlaku di daerah Tenom, di antara Mac hingga Jun 2021.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

Komen