Malaysia sumbang ubat bernilai RM227,984 kepada Ukraine
MALAYSIA memberi bantuan perubatan berbentuk ubat-ubatan bernilai RM227,984 kepada kerajaan Ukraine hari ini.
Ubat berkenaan adalah Levothyroxine Sodium 100 mikrogram (mcg) dalam bentuk tablet, Fentanyl Citrate 50 mcg/mililiter (ml) dalam suntikan dua ml, Amikacin 250 miligram (mg)/ml dalam suntikan dua ml dan suntikan Propofol 10 mg/ml.
Bantuan disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa kepada Kuasa Usaha Kedutaan Ukraine di Malaysia, Denys Mykhailiuk.
Dalam ucapannya, Dr Zaliha berkata, majlis hari ini adalah contoh terbaik pakatan strategik yang mempamerkan nilai kemanusiaan hebat dan matlamat bersama untuk keamanan serta keselamatan global.
“Dengan laporan berjuta-juta rakyat Ukraine meninggalkan rumah dan ramai yang menyeberangi sempadan ke negara jiran, tuntutan kepada nilai kemanusiaan yang tercetus daripada situasi kecemasan ini memerlukan tindakan segera bagi memastikan akses tanpa halangan kepada ubat-ubatan penting,” katanya menurut laporan Bernama.
Beliau berharap kerjasama dengan kerajaan Ukraine dapat ditingkatkan pada masa akan datang, terutama dalam bidang penjagaan kesihatan. – Malaysiapost