Mangsa banjir menurun
KEADAAN banjir di beberapa negeri yang terjejas semakin baik dengan jumlah mangsa dilaporkan menurun kepada 3,690 mangsa daripada 1,076 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 5,320 mangsa daripada 1,570 keluarga pada 4 petang tadi.
Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pahang mencatatkan 3,585 mangsa daripada 1,046 keluarga.
Daerah Kuantan yang sebelum ini
merekodkan 5,053 mangsa kini menurun kepada 3,466 mangsa daripada 1,011 keluarga yang ditempatkan di 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Bagaimanapun daerah Pekan yang turut terjejas mencatatkan peningkatan membabitkan 119 mangsa berbanding 107 mangsa pada petang tadi.
Menurut laporan itu, Johor mencatatkan 33 mangsa daripada 10 keluarga membabitkan daerah Mersing (tujuh mangsa) dan Segamat (26 mangsa), manakala PPS di Segamat telah ditutup hari ini.
Kelantan pula tidak merekodkan perubahan dengan hanya membabitkan 28 mangsa daripada enam keluarga di daerah Pasir Mas.
Mangsa banjir di Kedah juga tidak mencatatkan perubahan dengan seramai 26 mangsa daripada lapan keluarga dipindahkan di daerah Kulim, manakala berlaku penurunan mangsa di Terengganu, dengan 18 mangsa daripada enam keluarga masih berada di PPS di daerah Kemaman.
Secara keseluruhan sebanyak 34 PPS aktif membabitkan 28 di Pahang, dua di Johor dan dua di Terengganu serta masing-masing satu di Kelantan dan Kedah. – Malaysiapost