Menu Rahmah Pahang dilancar minggu depan

Menu Rahmah Pahang dilancar minggu depan

Ben Ibrahim

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) akan melancarkan kempen inisiatif Menu Rahmah di negeri Pahang bermula minggu depan.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, pihaknya kini dalam proses mengenalpasti platform bagi meletakkan direktori kedai yang akan melaksanakan inisiatif itu di Pahang.

Katanya, satu sesi libat urus sudah diadakan bersama Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia (PERTOM) di sini hari ini untuk menjayakan inisiatif berkenaan.

“Kalau di Pahang ini, kita turut mengajak rantaian ‘food court’, kopitiam atau kedai-kedai biasa untuk sama-sama menyertai inisiatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di francais Kedai Nasi Ayam Papa, Indera Mahkota, di sini hari ini.

Fuziah menjelaskan selari dengan asas inisiatif Menu Rahmah bagi membantu rakyat kurang berkemampuan, pihaknya juga mengalu-alukan jika terdapat industri lain mahu bekerjasama melaksanakan inisiatif seumpama itu.

“Kita dapati sambutan amat baik. Dan kita tahu ramai yang susah ketika ini. Kita tahu juga kos sara hidup bukan hanya melibatkan makanan, tapi melibatkan kesihatan, perumahan, pengangkutan dan pendidikan.

“KPDN akan sentiasa ‘engage’ dengan kementerian-kementerian lain dan industri-industri supaya kos sara hidup itu dapat kita kawal,” jelas Fuziah.

Sejak KPDN melancarkan inisiatif Menu Rahmah pada 31 Januari lalu, hampir 15,000 premis menjual makanan menyertai inisiatif itu di mana makanan siap masak ditawarkan pada harga RM5. – Malaysiapost

Photo from Wanfai Ismayatim

Komen