PAS gerakkan bantuan PASRelief ke Turkiye
PAS akan menggerakkan bantuan melalui PASRelief bagi membantu mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata usaha tersebut sudah mula digerakkan dan satu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dibentuk untuk menyelaras misi bantuan itu dengan kadar segera.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Turkiye dan Syria yang terkesan teruk dengan kejadian gempa bumi yang meragut ribuan nyawa itu.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Turkiye dan Syria yang diuji dengan kejadian gempa bumi terburuk dalam sejarah bencana alam di negara tersebut.
“Dilaporkan gempa bumi yang berukuran 7.8 magnitud tersebut telah meragut lebih 3,800 nyawa setakat ini dan lebih 13,293 lagi dilaporkan cedera. Usaha pencarian mangsa masih lagi berlangsung.
“Gempa bumi tersebut juga mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda, bangunan dan kediaman di wilayah – wilayah yang terkesan akibat kejadian tersebut seperti di Gaziantep, Osmaniye, Malatya, Adiyaman, Diyarbakir, Adana, Kilis dan Sanliurfa.
”Semoga Turkiye, Syria dan warga kedua-dua negara berkenaan dilindungi dan dirahmati Allah SWT,” katanya di hantaran Facebook, hari ini.
Gempa berukuran 7.8 skala Magnitud berdurasi 75 saat dilaporkan melanda barat bandar raya Gaziantep dekat sempadan Syria pada pukul 4.17 pagi (9.17 pagi waktu Malaysia).
Gegaran kedua tertinggi dalam sejarah Turkiye selepas 1939 yang berkekuatan 7.9 skala Magnitud itu turut mengakibatkan ancaman tsunami di perairan negara berkenaan. – Malaysiapost