Pasukan SMART selamat tiba di Turkiye
PASUKAN Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi, selamat tiba di bumi Turkiye.
Ketibaan pasukan itu dikongsi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), menerusi kemas kini di media sosial, sebentar tadi.
“Alhamdulillah Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia telah selamat mendarat di bumi Turki.
“Mari sama-sama kita doakan agar segala operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Turki dipermudahkan,” tulisnya di hantaran itu hari ini.
Terdahulu, Malaysia menghantar Pasukan SMART ke Turkiye bagi membantu misi SAR sebagai tanda solidariti kepada mangsa yang terjejas, malam tadi.
Pasukan SMART terdiri daripada 70 anggota termasuk pasukan perubatan dari Kor Kesihatan Diraja (KKD), Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) berlepas ke Istanbul menerusi penerbangan Turkish Alirlines.
Jumlah kematian akibat gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria setakat ini dilaporkan meningkat kepada 4,372.
Menurut Ketua Perkhidmatan Bencana Turkiye, Yunus Sezer, angka korban di Turkiye meningkat kepada 2,921 setakat pagi Selasa dengan 15,834 dilaporkan cedera.
Manakala di Syria, 1,451 kematian dan 3,531 kecederaan telah dilaporkan oleh pihak berkuasa.
Gempa berukuran 7.8 skala Magnitud berdurasi 75 saat dilaporkan melanda barat bandar raya Gaziantep dekat sempadan Syria pada pukul 4.17 pagi (9.17 pagi waktu Malaysia).
Gegaran kedua tertinggi dalam sejarah Turkiye selepas 1939 yang berkekuatan 7.9 skala Magnitud itu turut mengakibatkan ancaman tsunami di perairan negara berkenaan. – Malaysiapost