Sekretariat Kerajaan Perpaduan setuju tubuh 3 jawatankuasa – Anwar

Sekretariat Kerajaan Perpaduan setuju tubuh 3 jawatankuasa – Anwar

MESYUARAT kali pertama Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia malam ini, bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa bagi memberi pandangan mengenai dasar kerajaan dan isu berkaitan pilihan raya serta strategi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Ibu Pejabat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, berkata ia merangkumi Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda dan Politik.

Menurutnya, Jawatankuasa Strategi adalah untuk berdepan komunikasi dan kenyataan fitnah melampau terhadap Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata sebagai contoh, isu pembakaran al-Quran di luar negara baru-baru ini menyaksikan ada beberapa tokoh agama mendakwa Kerajaan Perpaduan seolah-olah tidak mengambil tindakan terhadap isu berkenaan.

“Ketika itu, kita sudah menyatakan kenyataan keras dan mengecam insiden itu, malah Kementerian Luar turut memanggil duta Sweden.

“Saya juga mengarahkan pencetakan sejuta naskhah al-Quran untuk diedar ke seluruh dunia,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan, malam ini.

Hadir sama dalam mesyuarat itu kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) turut hadir.

Anwar berkata, Jawatankuasa Pilihan Raya pula memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga akan memberi tumpuan kepada soal pembahagian kerusi dan memastikan semua parti gabungan yang bertanding mempunyai tapak kukuh dalam menghadapi PRN.

“Satu hal yang disepakati adalah semua parti termasuk di Sabah dan Sarawak memberi komitmen untuk terus membantu sebagai satu pasukan,” katanya.

Jawatankuasa Pemantauan Agenda dan Politik pula menurutnya akan membabitkan manifesto parti dan juga kos sara hidup rakyat.

“Jawatankuasa ini bertanggungjawab dalam pelaksanaan manifesto parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan serta kos sara hidup,” katanya.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat terbabit turut memperkuatkan tekad Kerajaan Perpaduan untuk bekerja sebagai satu pasukan yang padu dan mantap.

“Hal ini disepakati malam ini dan bukan setakat itu, kita bersetuju membentuk struktur pimpinan yang akan bersidang setiap bulan.

“Ketua-ketua parti gabungan akan menjadi timbalan pengerusi manakala pimpinan lain sebagai naib pengerusi,” katanya.

Menurutnya, Fadillah dilantik sebagai Setiausaha Agung Sekretariat, dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Sekretariat, manakala pimpinan lain menganggotai Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost

Komen