Selepas 25 tahun, akhirnya Anwar ‘jejak kaki’ di Menara Onn
DATUK Seri Anwar Ibrahim akhirnya kembali menjejakkan kaki di Ibu Pejabat Umno di Menara Dato’ Onn, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini.
Perdana Menteri itu tiba pada jam 7.42 malam tadi dan kehadirannya adalah bagi mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan, kira-kira jam 8.30 malam ini.

Mesyuarat malam ini juga dihadiri pemimpin utama Umno dan Barisan Nasional (BN), termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pemimpin-pemimpin utama parti Pakatan Harapan (PH) membabitkan PKR, Amanah dan DAP selain Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Warisan turut dilaporkan akan hadir.
Terdahulu ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang lalu, Ahmad Zahid memaklumkan penubuhan sekretariat itu, yang ditubuhkan bersama parti dalam Kerajaan Perpaduan, dengan pejabat urusannya bertempat di Menara Dato’ Onn.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut memaklumkan, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mengetuai sekretariat berkenaan.
Sekretariat itu antara lain bertujuan menjamin kelangsungan Kerajaan Perpaduan yang kini terdiri daripada 148 Ahli Parlimen sekali gus menguasai dua pertiga majoriti.
Untuk rekod, Anwar dipecat dari Umno pada September 1998 ketika memegang jawatan Timbalan Presiden Umno dan juga Timbalan Perdana Menteri ketika itu. – Malaysiapost