Selepas 25 tahun, Anwar kembali ke ibu pejabat Umno malam ini

Selepas 25 tahun, Anwar kembali ke ibu pejabat Umno malam ini

SELEPAS kira-kira 25 tahun, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal kembali menjejakkan kaki ke ibu pejabat Umno di ibu negara malam ini.

Perdana Menteri dijadual hadir ke Menara Dato’ Onn bagi mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Kali terakhir Anwar hadir ke ibu pejabat Umno ialah ketika masih bergelar Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno ketika kerajaan dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

Untuk rekod, Anwar yang juga Presiden PKR dipecat daripada Umno pada 3 September 1998.

Mesyuarat malam ini difahamkan akan dihadiri pemimpin utama Umno dan Barisan Nasional (BN), termasuk Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Turut dijangka hadir ialah pemimpin parti gabungan Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Warisan.

Jemputan bagi membuat liputan mesyuarat tersebut juga telah diedar kepada media.

Difahamkan, mesyuarat malam ini akan membincangkan perjalanan kerajaan dan langkah ke hadapan, termasuk dalam soal kerjasama politik semua parti dalam kerajaan perpaduan. – Malaysiapost

Komen