Serbuan penempatan haram: Warga asing tiada niat pulang ke negara asal
JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menjelaskan warga Indonesia yang ditahan dalam operasi di Nilai Spring dipercayai tidak berniat untuk pulang ke negara asal, sebaliknya ingin terus menetap di negara ini walaupun tanpa dokumen sah.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata berdasarkan pemeriksaan terhadap penempatan tersebut, ia adalah sebuah perkampungan yang telah lama wujud di dalam hutan serta berada di kawasan tidak rata dan berpaya.
Menurutnya, kawasan itu boleh diakses dengan berjalan kaki sejauh 1.2 kilometer, selain di kelilingi besi serpihan jerat, anjing liar dan pelbagai kemudahan seperti beberapa unit generator serta sekolah yang menggunakan silibus pendidikan negara jiran.
“Dalam operasi itu, seramai 68 warga Indonesia diperiksa dengan 67 daripadanya berusia lingkungan dua bulan hingga 72 tahun ditahan berikutan tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee mengulas laporan media bertajuk ‘Suruhanjaya Indonesia (Komisi Nasional Hak Asasi Manusia/Komnas HAM) kecam serbuan pekerja asing di Nilai Spring’.
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, operasi penguatkuasaan berkenaan serbuan itu tidak terkait dengan pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) yang bermula pada 27 Januari lepas.
Katanya, RTK 2.0 bertujuan memastikan warga asing yang berada dan bekerja dalam negara secara tidak sah diregularisasi untuk bekerja secara sah dan pelaksanaan itu juga bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam negara serta menguatkuasakan undang-undang Imigresen.
“Dalam hal ini, pendatang tanpa izin seharusnya mengambil peluang menyertai program RTK 2.0 ini untuk terus berada di Malaysia secara sah,” katanya.
Beliau berkata, kemasukan dan keberadaan warga asing di negara ini tertakluk kepada dasar, peraturan dan perundangan termasuk keperluan memiliki dokumen perjalanan yang sah, mematuhi tempoh keberadaan yang dibenarkan serta pematuhan kepada syarat-syarat pas dikeluarkan.
Sehubungan itu, menurutnya, JIM akan sentiasa memastikan perkara itu dilaksanakan dengan teratur supaya keselamatan serta kedaulatan negara tidak terancam dan dikrompromi.
“JIM sedang mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, jabatan itu sentiasa memastikan aspek kebajikan tahanan terjaga dengan mematuhi piawaian yang ditetapkan termasuk kebajikan kepada tahanan wanita dan kanak-kanak. – Malaysiapost