Shila Amzah akui jalin cinta dengan Ubai
TEKA-TEKI hubungan penyanyi popular, Shila Amzah dengan ‘influencer’ media sosial, Ubai, akhirnya terjawab apabila pelantun lagu ‘patah seribu’ itu mengakui sedang menjalin percintaan.
Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 33, mengakui sudah berkawan dengan ‘influencer’ TikTok tersebut sejak tahun lalu.
“Saya sudah lama selesa berkawan dengan Ubai hingga satu hari ada sesuatu yang terjadi menyebabkan saya ‘eh’.
“Cinta bermula dengan sebuah skuter. Sebenarnya perkenalan sudah lama tetapi kejadian tersebut yang menggerakkan hati saya,” katanya menerusi ‘live’ di TikTok.
Dia turut mengharapkan netizen tidak membuat sebarang spekulasi tentang hubungan mereka, selain mengharapkan yang terbaik untuk hari-hari mendatang.
Menurut Shila, hubungan dengan jejaka berusia 25 itu tahun itu juga mendapat restu ibu bapa dan kenalan rapatnya.
“Lagi satu saya mahu cakap ibu bapa saya serta semua yang rapat okey sahaja dengan dia (Ubai).
“Kalian jangan cakap perhubungan kami tidak direstui kerana sebelum ini pun ada netizen berkata sebegitu sebab tidak suka. Kali ini, saya juga boleh buat keputusan untuk diri sendiri. Jadi, jangan risau,” jelasnya.
Sementara itu, Ubai mendedahkan, hubungan mereka terjalin sewaktu Shila dalam proses meneruskan kehidupan selepas bercerai.
Desas-desus hubungan Shila dan Ubai tercetus apabila kedua-dua mereka yang dilihat akrab dalam sosial media selain hadir bersama ketika konsert penyanyi dan penulis lirik, Melly Goeslaw di Malaysia, baru-baru ini. – Malaysiapost