SPRM digesa siasat perbelanjaan mewah PH, BN pada PRU15

SPRM digesa siasat perbelanjaan mewah PH, BN pada PRU15

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat perbelanjaan mewah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Ketua Bahagian Bersatu Puchong, Mohd Shukor Mustaffa, berkata ia berikutan pelbagai siaran media dan perkongsian di media sosial yang membuktikan penganjuran ceramah-ceramah gabungan parti politik berkenaan yang mewah.

“PH dan BN dilihat menggunakan poster dan bendera yang banyak, selain Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggunakan helikopter mewah untuk bergerak ketika tempoh kempen.

“Anwar mengatakan tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri begitu juga anaknya Nurul Izzah. Persoalannya, daripada mana sumber pembiayaan anak beranak ini sehingga mampu hidup mewah tanpa gaji bulanan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Terdahulu, beliau tiba di pekarangan Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 11 pagi dengan diiringi hampir 20 ahli parti Bersatu.

Mohd Shukor turut mempersoalkan dari manakah sumber sebenar dana PH dan BN pimpinan Anwar serta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN.

“Kami berharap agar satu siasatan menyeluruh oleh pihak SPRM dapat dilakukan terhadap PH dan BN, terutamanya Anwar dan keluarganya.

“SPRM adalah badan yang seharusnya bebas dan berkecuali. Justeru, laporan ini memerlukan tindakan yang adil dan segera daripada SPRM,” katanya.

Sementara itu, katanya, setelah hampir tiga bulan menjadi kerajaan, PH dan BN seharusnya memberi tumpuan kepada masalah kos sara hidup yang semakin meningkat serta krisis kesihatan di Malaysia yang masih belum pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, menurutnya, tumpuan mereka sebaliknya lebih kepada mencipta fitnah dan tohmahan terhadap pesaing politik mereka terutama Bersatu.

“Pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan kepada Bersatu untuk membina persepsi negatif terutama dalam masa kita sedang dekat Pilihan Raya Negeri di enam negeri.

“Bagi melemahkan Bersatu, akaun milik parti telah dibekukan walaupun siasatan belum selesai. Ini bermaksud, Bersatu dihukum tanpa dibuktikan bersalah,” katanya. – Malaysiapost

Komen