Teknologi ‘trench liner’ dapat selesaikan kerja baikpulih paip uzur di Johor

Teknologi ‘trench liner’ dapat selesaikan kerja baikpulih paip uzur di Johor

PENGGUNAAN teknologi tanpa parit (trenchless liner) didakwa dapat menyelesaikan kerja pengantian kira-kira 6,000 kilometer (km) paip air uzur bawah tanah di Johor dalam tempoh empat tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Green Area Technology Asia (GAT Asia), Ammar Fikri, berkata kerja penggantian paip uzur itu menjadi dua kali ganda lebih efisyen berbanding jangkaan sepuluh tahun seperti dilaporkan sebelum ini.

Katanya, teknologi tersebut juga mampu menyelesaikan urusan penaiktarafan paip air yang terjejas dengan kos lebih rendah berbanding kaedah konvensional yang memerlukan kerja mengorek parit untuk menggantikan paip uzur.

“Sekitar 20 hingga 30 peratus dapat dijimatkan sekiranya pihak bertanggungjawab menggunakan teknologi kami berbanding dengan kaedah lama yang memerlukan kontraktor menggali dan mengesan kedudukan paip yang mengalami kerosakan untuk diganti,” katanya.

Beliau berkata, selain kos yang lebih murah penggunaan teknologi tersebut juga menjamin bekalan air dalam negeri tidak akan terganggu akibat kerja-kerja penaiktarafan yang dijalankan.

Katanya, paip-paip saluran air yang telah uzur di Johor menjadi penyumbang utama kepada isu ketirisan bekalan air terawat di negeri itu yang turut menyumbang kepada peningkatan kes gangguan bekalan air kepada pengguna.

“GAT Asia sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk membawa teknologi hijau bagi kerja penaiktarafan paip-paip lama di Johor, termasuk negeri lain.

“Merujuk kepada laporan akhbar pada Disember lepas, GAT Asia sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor dalam menyelesaikan isu berkenaan pembaikpulihan paip-paip lama di negeri tersebut.

“Sebagai sebuah syarikat pembekal teknologi hijau tempatan, adalah menjadi tanggungjawab GAT Asia untuk membantu kerajaan menyelesaikan masalah berkaitan dengan kepakaran kami,” katanya.

Justeru, katanya, GAT Asia sedia memberikan komitmen terbaik kepada kerajaan Johor demi kelestarian dan kemaslahatan seluruh penduduk di negeri berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan, Kerajaan Johor dilapor mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam usaha mempercepatkan projek membaik pulih paip lama di negeri itu bagi mengatasi masalah bekalan air yang terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, tempoh yang diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja membaik pulih baki 6,000km paip lama dijangka mengambil masa sehingga 10 tahun untuk diselesaikan. – Malaysiapost

Komen