Tengku Hassanal jalani pembedahan
PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah baru sahaja selesai menjalani prosedur pembedahan.
Bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai masalah kesihatannya tidak dinyatakan.
Tengku Hassanal menerusi hantaran di Instagram hanya memaklumkan lokasi terkininya berada di Singapura.

Berdasarkan gambar dikongsinya, prosedur pembedahan itu dijalankan di National University Hospital di Singapura.
Dalam pada itu baginda memohon kerajaan negeri dan Persekutuan bertindak segera menangani situasi banjir di negeri itu yang semakin memburuk.
“Saya mendapat maklumat keadaan banjir di Pahang agak teruk.
“Saya memohon pihak kerajaan Negeri Pahang dan kerajaan Persekutuan agar bertindak dengan segera untuk menangani mangsa-mangsa banjir.
“Saya sentiasa mendoakan semoga semua orang kampong saya selamat dan berjaya dalam menempuh keadaan bencana banjir yang melanda ini,” tulis Tengku Hassanal di entri itu, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan situasi banjir di Pahang semakin memburuk apabila 3,997 mangsa daripada 1,166 keluarga terjejas akibat bencana itu, setakat jam 12 tengah malam tadi.
Mangsa yang terlibat banjir ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kuantan dan Pekan.
17 PPS dibuka di Kuantan yang menempatkan 3,887 mangsa manakala empat PPS dibuka di daerah Pekan yang menempatkan 110 mangsa. – Malaysiapost