‘Tidak ada sesiapa yang mahu orang Melayu menjadi Cina’ – Kit Siang
VETERAN DAP, Lim Kit Siang berharap Malaysia dapat mempelajari usaha mempromosikan persefahaman dan keharmonian antara tamadun rakyat seperti mana di Indonesia.
Kit Siang berkata, Malaysia patut memimpin dunia dalam memberikan makna baharu kepada ‘Perpaduan dari Kepelbagaian’.
“Yang mana rakyat Malaysia meraikan perayaan-perayaan utama pelbagai etnik, agama, dan budaya dari seluruh dunia sambil mengekalkan identiti etnik, agama, dan budaya masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia berada di titik pertemuan empat tamadun hebat dunia iaitu Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat.
Justeru, rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik, bahasa, agama atau budaya perlulah menggunakan nilai-nilai terbaik dari empat tamadun ini untuk membina semula sebuah negara hebat yang bertaraf dunia.
“Tidak ada sesiapa yang mahu orang Melayu menjadi Cina, Cina menjadi India, India menjadi Dayak, atau Dayak menjadi Kadazan.
“Sama juga, tidak ada sesiapa pun yang mahu orang Islam menjadi Buddha, Buddha menjadi Hindu, atau Hindu menjadi Kristian. Perkara ini bukanlah ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’,” katanya.
Malah, beliau turut mempersoalkan sama ada Malaysia mampu berubah menjadi penggerak usaha mempromosikan dialog, persefahaman dan keharmonian global serta bukannya mencetuskan pertembungan antara budaya.
Katanya, dalam hal itu, Indonesia dilihat berada selangkah di hadapan dalam memberikan makna kepada ‘Perpaduan dari Kepelbagaian’.
Katanya, di negara itu orang ramai meraikan perayaan utama pelbagai etnik, kaum, dan budaya dunia untuk membawa persefahaman dan keharmonian antara tamadun dunia.
“Sekiranya Perdana Menteri Malaysia telah memakai pakaian tradisi Cina untuk sambutan Tahun Baru Cina di Malaysia, adakah dia akan dituduh sebagai mengkhianati orang Melayu demi kepentingan orang Cina di Malaysia?
“Atau adakah dia akan dipuji kerana menunjukkan cara untuk para pemimpin dunia mempromosikan dialog, persefahaman, dan keharmonian antara tamadun?,” soalnya. – Malaysiapost