Tunku Abdul Aziz meninggal dunia

Tunku Abdul Aziz meninggal dunia

BEKAS senator, Tunku Abdul Aziz Ibrahim, dilaporkan meninggal dunia pada usia 89 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara, hari ini.

Anak saudaranya, Tengku Azman Tengku Zainal Abidin, mengesahkan perkara itu menerusi perkongsian di Instagram.

Tunku Aziz yang juga seorang aktivis, menyertai DAP pada 2008 dan pernah dilantik sebagai Naib Pengerusi parti itu setahun kemudian dan meninggal parti berkenaan pada 2012.

Ketika hayatnya, beliau membantu mengasaskan Transparency International Malaysia pada 1998 dilantik sebagai Naib Pengerusinya sehingga Oktober 2002.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Khas kepada Kofi Annan yang juga Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Februari 2006 hingga Januari 2007.

Berita kematian itu turut dikongsikan di laman Facebook bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Takziah kepada keluarga YM Tunku Abdul Aziz yang telah pulang ke rahmatullah hari ini.

“Arwah seorang ahli korporat dan tokoh politik yang berpengalaman luas, sentiasa menyumbang idea kepada dunia politik dan pentadbiran awam.

“Semoga roh dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman,” menurut hantaran di laman Facebook, Najib Razak.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga berkongsi berita sedih berkenaan.

“Baru mendapat perkhabaran Tunku Abdul Aziz Rahim telah meninggalkan kita semua.

“Beliau akan sentiasa diingati atas usahanya berjuang demi keadilan dan kesaksamaan untuk rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapos

Komen