4 gabungan parti naungi Sekretariat Kerajaan Perpaduan – Asyraf Wajdi
SEKRETARIAT Kerajaan Perpaduan kini didokong empat parti gabungan iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Sekretariat, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia turut dianggotai satu parti tunggal iaitu Warisan.
“Ini bermakna keseluruhannya terdapat 20 parti-parti yang mendokong dan menyokong Kerajaan Perpaduan dengan jumlah 148 Ahli Parlimen, menyamai 2/3 majoriti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat pertama sekretariat itu semalam sebulat suara bersetuju melantik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi; Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Setiausaha Agung dan beliau sendiri sebagai Ketua Sekretariat.
“Setiap ketua-ketua 0arti sama ada Presiden ataupun bagi sesetengah parti Setiausaha Agung yang menjadi ketua parti akan dilantik secara automatik menjadi Timbalan-Timbalan Pengerusi bagi Sekretariat Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Mesyuarat Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan malam tadi, bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Perundingan Kerusi; Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik serta Jawatankuasa Komunikasi Strategik. – Malaysiapost