Agong harap semua mangsa banjir dapat segera pulang ke rumah

Agong harap semua mangsa banjir dapat segera pulang ke rumah

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap agar semua penduduk terjejas banjir di Pahang dapat pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat.

Baginda bertitah keadaan cuaca baik sejak semalam juga diharap berterusan dan keadaan banjir dapat pulih sepenuhnya.

“Saya harap cuaca akan bertambah baik mudah-mudahan, saya harap semua (penduduk) yang terpaksa pindah boleh pulang ke rumah semua,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas mencemar duli melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Agama Rakyat Ubudiah, dekat Taman Guru, Kuantan, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Al-Sultan Abdullah dalam pada itu turut menzahirkan rasa simpati dengan kejadian gempa bumi yang berlaku di Turkiye dan Syria pada Isnin lalu.

Baginda menyeru kepada semua rakyat Malaysia dapat sama-sama mendoakan keselamatan rakyat negara itu.

“Agak sesuatu yang malang bagi rakyat di sana dan saya harap kita sama-sama berdoa, sembahyang hajat agar Allah dapat memberikan sedikit rahmah kepada mereka yang kehilangan nyawa.

“Kita di sini hanya hadapi banjir tahun demi tahun, namun kita harus bersabar dan kita amat sedih (dengan) kejadian di Turkiye dan Syria itu,” titahnya lagi.

Gempa bumi pada Isnin lalu dengan kekuatan pada 7.8 pada skala Richter dengan kedalaman 18 kilometer menyaksikan lebih 7,000 mangsa terkorban.

Beribu-ribu bangunan dilaporkan runtuh di kawasan yang luas dari bandar Syria Aleppo dan Hama ke Diyarbakir Turkiye, lebih 330 kilometer ke timur laut.

Di Turkiye saja, lebih 5,600 bangunan musnah, kata pihak berkuasa. Hospital rosak, dan satu runtuh di bandar Iskenderun. – Malaysiapost

Komen