Bajet 2023: Peruntukan ATM perlu ditambah 1.5% daripada KDNK

Bajet 2023: Peruntukan ATM perlu ditambah 1.5% daripada KDNK

PERUNTUKAN untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Bajet 2023 perlu ditambah 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, berkata peruntukan yang diberikan perlu sesuai dengan lanskap keselamatan semasa yang telah berubah.

“Saya telah berkali-kali menerangkan bahawa lanskap keselamatan (security landscape) di peringkat global dan serantau telah berubah. Keadaan ini pula memerlukan bajet pertahanan kita dikaji semula. ‘Business is not as usual’.

“Bajet ATM perlu dikaji semula supaya ianya lebih sesuai dengan lanskap keselamatan semasa. Dalam konteks ini, seperti sedia maklum, ATM atau pertahanan negara telah begitu lama diabaikan.

“Saya berharap kerajaan kali ini mengambil peluang untuk mengubah keadaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau menggesa kerajaan dengan tegas memastikan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) disiapkan.

“Selain itu kerajaan perlu menyediakan peruntukan sewajarnya supaya Projek LMS Batch ke-2 (LMSB2) dapat direalisasikan dalam masa terdekat dan sebelum terlambat,” katanya..

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini. – Malaysiapost

Komen