Calon Peguam Negara baharu masih dibincang – PM

Calon Peguam Negara baharu masih dibincang – PM

KERAJAAN masih berbincang calon yang sesuai sebagai Peguam Negara baharu bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang bakal tamat tempoh perkhidmatannya bulan depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun tidak memperincikan perkara itu dan menjelaskan ia masih dalam proses perbincangan.

“Kita masih berbincang (pelantikan Peguam Negara),” katanya ringkas dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan tiga hakim yang sedang berkhidmat dikhabarkan akan dipertimbangkan Anwar untuk dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu bagi menggantikan Idrus.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, selain dua Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Pada Mac tahun lalu, Idrus dilantik semula sebagai Peguam Negara bagi tempoh satu tahun lagi dan kontraknya bakal berakhir bulan depan.

Pelantikan hakim sebagai Peguam Negara bukan satu perkara baharu kerana sebelum dilantik, Idrus masih berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, manakala Tan Sri Mohamad Apandi Ali pula bekas Hakim Mahkamah Persekutuan. – Malaysiapost

Komen