Denda hingga RM10,000 Ahli Parlimen langgar peraturan dibincang

Denda hingga RM10,000 Ahli Parlimen langgar peraturan dibincang

AHLI Parlimen yang melanggar peraturan termasuk membuat kenyataan berbaur seksis dalam sidang dewan berisiko berdepan tindakan penalti sehingga RM10,000.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, berkata tindakan itu boleh dilaksanakan melalui penggubalan satu peraturan yang jelas yang sedang diusahakan.

“Saya sudah berbincang dengan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim untuk kita duduk dan menggubal satu peraturan jelas.

“Melalui Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) boleh bagi penalti cuma RM1,000, mungkin kita boleh pergi sehingga RM10,000, kita tak tahu.

“Kita akan bekerjasama dengan Dewan Negara (bagi tujuan itu),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis temu mesra Yang Dipertua Dewan Rakyat bersama pengamal media, di sini.

Sebelum ini, Johari memaklumkan mahu melaksanakan beberapa pembaharuan bagi memperkasa Parlimen, termasuk mengenakan tindakan lebih berat terhadap Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan perkauman, menghina dan mendiskriminasi jantina.

Katanya, hukuman boleh dikenakan termasuk denda RM1,000 yang termaktub dalam Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 yang tidak pernah digunakan, serta penggantungan daripada Parlimen selama enam bulan yang jarang digunakan Speaker terdahulu.

Sementara itu, Johari berkata, semua Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan eksekutif termasuk pembangkang digesa menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melalui mesyuarat pertama Parlimen ke-15 yang dijadual bermula Isnin ini.

Johari berkata, pihaknya bersedia menambah sehingga 13 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memastikan semua Ahli Parlimen kerajaan berpeluang menyertai jawatankuasa terbabit.

Beliau berkata, pihaknya akan mempengerusikan perbincangan yang akan berlangsung Isnin bagi menghidupkan semula Jawatankuasa Pilihan Khas yang memerlukan keahlian baharu.

“Saya mahu Ahli Parlimen ‘backbencher’ sama ada dari kerajaan atau pembangkang berada dalam jawatankuasa khas ini di mana semua pihak mempunyai peranannya.

“Perbincangan akan dibuat bulan ini, daripada 10 jawatankuasa khas akan tambah kepada 13.

“Mereka akan diberikan kakitangan dan peruntukan bagi setiap jawatankuasa khas, setiap jawatankuasa khas mungkin lapan hingga 10 orang tidak termasuk eksekutif,” katanya. – Malaysiapost

Komen