Isu ‘beruk’: Tindakan keras perlu diambil terhadap Ahli Parlimen Hulu Langat

Isu ‘beruk’: Tindakan keras perlu diambil terhadap Ahli Parlimen Hulu Langat

KETUA Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyokong cadangan pembaharuan bagi memperkasa Parlimen Malaysia, termasuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap Ahli Dewan Rakyat.

Ahmad Fadhli berkata, beliau berharap langkah itu wajar dimulakan dengan mengenakan tindakan keras terhadap Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang mengeluarkan kenyataan ‘beruk’ kepada seorang ahli Dewan dalam sidang Dewan, baru-baru ini.

Walaupun Ahmad Fadhli tidak menamakan mana-mana individu, namun ia dipercayai ditujukan kepada pemimpin Amanah itu susulan kekecohan yang dicetuskan pada sidang Dewan lalu apabila menggelar Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, sebagai ‘beruk’.

“Sangat bersetuju, kita mulakan dengan mengenakan tindakan sekeras-kerasnya kepada seorang Ahli Parlimen yang mengeluarkan perkataan ‘beruk’ kepada seorang ahli dewan yang lain dalam sesi baru-baru ini,” katanya ringkas di Facebook.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari bertekad akan melakukan pembaharuan bagi memperkasa Parlimen Malaysia.

Beliau berkata, ini termasuklah mengenakan hukuman lebih berat terhadap Ahli Dewan Rakyat yang melanggar etika supaya institusi penggubal undang-undang negara dihormati.

Katanya, tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap wakil rakyat yang mengeluarkan perkataan berbaur perkauman, menghina dan diskriminasi jantina.

Pada sidang Dewan Rakyat Disember lalu, Hashim meminta Johari mengambil tindakan terhadap Mohd Sany yang didakwa mengeluarkan perkataan biadap.

Katanya, tindakan Mohd Sany mengelar ‘Pendang beruk’ menyalahi Peraturan Mesyuarat Perkara 36(4), iaitu penggunaan sesuatu bahasa, perkataan atau ungkapan yang kurang sopan (biadap). – Malaysiapost

Komen