JAKIM lancar MESMA Peringkat Kebangsaan Kali ke-4 Tahun 2023

JAKIM lancar MESMA Peringkat Kebangsaan Kali ke-4 Tahun 2023

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Yayasan Islam Negeri Kelantan telah melancarkan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (MESMA) Peringkat Kebangsaan, hari ini.

Menurut JAKIM, pelancaran MESMA yang memasuki tahun keempat penganjurannya itu disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Ruslan Said dalam satu majlis di Yayasan Islam Negeri Kelantan, di Kota Bharu.

Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Ruslan Said dalam satu majlis di Yayasan Islam Negeri Kelantan, di Kota Bharu.

“MESMA akan berlangsung pada 6 hingga 9 Ogos 2023 di Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan membabitkan dua acara iaitu ‘recurve’ dan tradisional.

“Susulan pelancarannya, pemilihan pemain diperingkat sekolah akan diadakan Mac ini dan pertandingan diperingkat sekolah dan zon sehingga ke peringkat daerah pula akan dibuat pada Mei nanti.

“Manakala pertandingan diperingkat negeri diadakan pada Jun hingga Julai 2023. Semua ini adalah persiapan ke peringkat Kebangsaan pada 6 hingga 9 Ogos nanti,” menurut kenyataan itu.

Menurut JAKIM, MESMA akan disertai 196 peserta lelaki dan perempuan dari 14 negeri yang juga pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Objektif penganjuran program ini adalah untuk menerapkan nilai semangat bersaing secara sihat, berkeyakinan dan fokus terhadap apa jua yang dilakukan.

“Di samping itu untuk mengembangkan potensi pelajar ke arah menguasai kemahiran, bakat dan kebolehan yang dimiliki mereka untuk dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Menurut JAKIM lagi, berdasar rekod pencapaian mahrajan sebelum ini, terdapat beberapa peserta yang dipilih sebagai atlit peringkat negeri untuk bertanding ke peringkat kebangsaan seperti SUKMA dan Kejohanan Memanah Kebangsaan.

“Pihak penganjur meletakkan sasaran bahawa peserta bukan sahaja berjaya mencipta kejayaan diperingkat kebangsaan tetapi diharapkan mereka berjaya juga diperingkat antarabangsa,” katanya. – Malaysiapost

Komen