KJ nafi perolehan vaksin Covid-19 tanpa persetujuan Pejabat Peguam Negara
BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan perolehan vaksin Covid-19 dibuat tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Beliau berkata, semua perolehan yang dibuat kerajaan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dibentangkan kepada Kabinet, lapor NST.
“Justeru, AGC akan mengetahui dan memberikan ulasan mereka. Perolehan ditandatangani oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembentangan Kertas Putih oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan.
Anwar berkata, perolehan terbabit juga ditandatangani tanpa persetujuan AGC.
Katanya, kertas putih terbabit akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa. – Malaysiapost