Lupakan perseteruan, bawa Malaysia ke hadapan – Saifuddin
KEADAAN semasa negara menuntut semua parti politik dalam kerajaan perpaduan yang pernah berseteru sebelum ini agar berjiwa besar serta mengenepikan perbezaan.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail susulan kehadiran pimpinan Pakatan Harapan (PH) hadir pertama kali ke ibu pejabat Umno malam tadi.
Kehadiran mereka termasuk pimpinan DAP yang pernah menjadi ‘musuh ketat’ Umno adalah bagi menyertai Mesyuarat Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika mahu bicara soal pertembungan, perseteruan atau pertikaian sebelum ini, ia rahsia umum yang semua orang tahu.
“Namun keadaan semasa negara menuntut untuk kita semua berjiwa besar, ketepikan perbezaan yang merenggangkan dan cari titik persefahaman yang boleh kita garap untuk sama-sama bawa Malaysia ke hadapan.
“Perkukuhkan kerjasama, bulatkan tekad, rangkul segala kekuatan dan berjalan sederap membawa Malaysia kembali ke mercu yang boleh dibanggakan.
“Usaha ini demi rakyat, #DemiPertiwi, menuju sebuah #MalaysiaMADANI, InsyaAllah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu malam tadi, Anwar kembali menjejakkan kaki di Ibu Pejabat Umno di Menara Dato’ Onn, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur selepas 25 tahun setelah dipecat daripada Umno.
Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang turut dihadiri pemimpin utama Umno dan Barisan Nasional (BN), termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pemimpin utama PH membabitkan PKR, Amanah dan DAP selain Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut hadir. – Malaysiapost