Malaysia hulur bantuan lebih AS$2 juta kepada Turkiye, Syria

Malaysia hulur bantuan lebih AS$2 juta kepada Turkiye, Syria

MALAYSIA menyalurkan bantuan berjumlah lebih AS$2 juta kepada Turkiye dan Syria berikutan kejadian gempa bumi dahsyat melibatkan kedua-dua negara itu pada Isnin lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak AS$1 juta adalah daripada Kerajaan Malaysia, manakala AS$1 juta lagi adalah sumbangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Pada masa sama, beliau berkata, Majlis Agama Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menyalurkan bantuan sebanyak RM10 juta.

“Jumlah semua bantuan ini tidak termasuk bantuan daripada rakyat Malaysia yang bersimpati dengan mangsa gempa bumi di dua negara ini.

“Bantuan kepada Turkiye akan disalurkan secara terus kepada kerajaan mereka manakala Syria pula disalurkan kepada Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) di negara itu akibat kos penerbangan yang tinggi dan kekangan prosedur ke sana,” katanya selepas mesyuarat Kabinet hari ini.

Terdahulu Anwar berkata, kerajaan Malaysia juga akan menghantar seramai 70 lagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang akan diterbangkan ke Turkiye malam ini bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi.

Kelmarin, ribuan penduduk maut dan cedera akibat tertimbus dalam runtuhan bangunan di Turkiye dan Syria yang dilanda gempa bumi berukuran 7.8 magnitud pada jam 4.17 pagi (waktu tempatan). – Malaysiapost

Komen