Malaysia-Singapura komited perkukuh kerjasama bidang pendidikan serantau
MALAYSIA menyatakan komitmen dan bersedia dengan potensi serta peluang untuk bekerjasama dengan Singapura bagi memperkukuhkan lagi jalinan silaturrahim kedua-dua negara dalam bidang pendidikan di rantau Asia.
Komitmen itu disampaikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam pertemuannya dengan rakan sejawat dari Singapura, Chan Chun Sing di Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) ke-52 di Manila, Filipina, hari ini
“Pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Singapura itu antara lain turut memfokuskan kepada perkongsian amalan terbaik dua negara dalam mengendalikan isu yang dihadapi murid di zaman digitalisasi.
“Singapura turut mempelawa Malaysia untuk mengadakan program pertukaran murid di peringkat menengah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga menyatakan komitmen Malaysia-Singapura dalam Sukan Muhibah Tahunan Kali Ke-16 Malaysia (MESCA) – Singapura (MESRC).
“Sukan tahunan anjuran dua kementerian ini akan diadakan pada Mei 2023. Aktiviti tahunan ini menunjukkan komitmen berterusan dan kerjasama yang padu antara dua negara berjiran,” katanya.
Fadhlina kini berada di Manila bagi menyertai Persidangan SEAMEO ke-52 yang diadakan bermula hari ini hingga 10 Februari ini. – Malaysiapost