Masliha tawar diri tanding jawatan Ketua Puteri Umno

Masliha tawar diri tanding jawatan Ketua Puteri Umno

EXCO Pergerakan Puteri Umno Malaysia, Dr Masliha Harun, mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Pergerakan Puteri Umno pada pemilihan parti itu kali ini.

Pengumumannya itu sekaligus menjawab persoalan pelbagai pihak mengenai hala tujunya dalam membawa perjuangan parti berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Lembah Pantai itu mahu menterjemahkan aspirasi, misi dan visi yang akan diterjemahkan dalam ‘REVU’.

Menurutnya, REVU adalah bermaksud peremajaan (rejuvenation), pemerkasaan (empowerment), suara (voice) dan perpaduan (unity).

“Sejak kebelakangan ini saya ditanya pelbagai soalan untuk bertanding ke mana selepas ini untuk membawa perjuangan parti.

“Mungkin tidak terlambat saya ingin menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Ketua Puteri Umno Malaysia bagi penggal berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Masliha memohon sokongan dari semua pihak atas hasratnya itu dan berharap perjuangannya dipermudahkan.

“Aspirasi, Misi dan Visi saya telah diterjemahkan dalam REVU yang akan saya bawakan untuk membantu sayap Puteri di masa hadapan. Insya-Allah,” katanya.

Pemilihan Umno 2023 sedang diadakan sehingga 18 Mac ini, manakala Persidangan Tahunan Umno Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan diadakan hingga 26 Februari ini.

Sementara mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

Selain Masliha, turut dilaporkan menawarkan diri untuk bertanding Jawatan Ketua Puteri Umno yang kini disandang oleh Datuk Zahida Zarik Khan adalah Setiausaha Pergerakan Puteri Umno, Nurul Hazwani Haslan. – Malaysiapost

Komen