MUDA terkilan tak dijemput ke mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan
PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) terkilan kerana tidak dijemput menghadiri mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn malam tadi.
Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi menjelaskan parti itu tidak menerima sebarang jemputan termasuk menerusi surat, mesej atau emel.
Katanya, beliau hanya mengetahui mesyuarat berkenaan berlangsung malam tadi menerusi media.
“Khabarnya semalam berlangsung mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan. Nampak ada logo MUDA. Tapi (MUDA) tak tahu apa-apa. Tak ada jemputan. Tak ada makluman. Tahu-tahu dah ada keputusan,” ciapnya di Twitter hari ini.
Malam tadi berlangsung mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri semua pemimpin parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Namun, kelibat pemimpin utama atau wakil dari MUDA tidak kelihatan.
Pada sidang media selepas mesyuarat itu, Anwar memaklumkan penubuhan tiga jawatankuasa membabitkan semua parti dalam kerajaan iaitu Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.
Amir berharap parti itu dapat diberikan taklimat untuk membolehkan MUDA yang kini menjadi sebahagian kerajaan mengetahui sedikit perkembangan hasil dari mesyuarat berkenaan.
“Mungkin sekurang-kurangnya, boleh bagi taklimat hasil mesyuarat?,” tulisnya.
Menjawab kritikan seorang pengguna Twitter yang mempertikaikan kenyataan terbuka dibuatnya melalui media sosial, Amir berkata, sebagai Setiauasaha Agung MUDA beliau sepatutnya dimaklumkan mengenai mesyuarat itu.
“Saya SUA parti. Kalau ada sebarang komunikasi, sudah tentu melalui saya. Tidak ada surat, mesej, email yang diterima. Kami hanya tahu ia berlangsung dari media,” katanya. – Malaysiapost