Noraini akan pertahan jawatan Ketua Wanita Umno
DATUK Seri Dr Noraini Ahmad mengesahkan akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno dalam pemilihan sayap berkenaan, bulan depan.
Sumber rapat dengan bekas Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, hasrat Noraini mempertahankan jawatannya itu sudah dinyatakan kepada pimpinan sayap dan negeri, baru-baru ini, lapor Berita Harian.
“Ya, Noraini sudah menetapkan pendirian untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan sayap akan datang.
“Ia sekali gus menafikan dakwaan kononnya beliau tiada sokongan dan akan berundur.
“Pimpinan sayap pusat dan negeri juga sudah dimaklumkan mengenai hasrat Noraini mempertahan jawatan selepas isu berkenaan hangat sehari dua ini.
“Beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi untuk mempertahankan jawatannya itu dalam masa terdekat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, lebih separuh Ketua Wanita Umno Bahagian di seluruh negara didakwa mahukan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali menerajui kepemimpinan Wanita Umno
Ketua Wanita Umno Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, mendakwa 147 ketua wanita Umno Bahagian membuat keputusan itu dalam satu pertemuan dengan Shahrizat baru-baru ini.
Selain Noraini, Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Norliza Abdul Rahim, turut dilapor akan memberi saingan.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita Umno, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri Umno Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan. – Malaysiapost